Pengenalan Sinematografi: Visual Yang Menyentuh Emosi
Filem atau movie adalah salah satu medium hiburan yang sudah tidak asing lagi dalam masyarakat berbilang usia. Filem merupakan antara medium hiburan yang popular kerana cirinya yang bersahaja, mempunyai jalan cerita yang tersendiri dan mudah dikaitkan dengan kehidupan seharian. Tetapi, dalam anda bersahaja menikmati sebuah filem, pernahkah anda terasa kagum dengan mana-mana babak kerana visualnya yang begitu cantik? Ya, visual yang anda lihat itulah dinamakan sinematografi.
Definisi Sinematografi
Maksud tersurat sinematografi adalah seni fotografi dalam pembikinan filem. Atau dalam bahasa inggerisnya dieja “cinematography”. Secara terperinci, sinematografi memainkan peranan penting dalam menghasilkan gambar dengan pengcahayaan dan komposisi tertentu. Dalam masa yang sama, ia mampu mempengaruhi emosi audiens selari dengan jalan cerita filem tersebut.
Gambar oleh Little White Lies
Pengarah Fotografi
Dalam industri filem, peranan menghasilkan sinematografi dipegang oleh Pengarah Fotografi. Dalam bahasa inggerisnya digelar Director of Photography (DoP) atau Cinematographer. Kebiasaannya DoP bekerja di lapangan dan beliau bertanggungjawab untuk merealisasikan imaginasi Pengarah Filem. Kemudian, beliau akan memberi arahan kepada pihak kru produksi dan jurukamera mengikut komposisi serta pengcahayaan yang dirancang. Selain itu, apakah yang anda perlu tahu sebagai seorang DoP?
Elemen Sinematografi
Terdapat beberapa elemen yang perlu diambil kira bagi menghasilkan sinematografi yang memberi impak.
Gambar oleh Ken Anzai
- Pencahayaan
Seorang Pengarah Fotografi perlu mahir dan berilmu dalam menentukan pencahayaan. 3-point-lighting adalah teknik yang umum dalam pembikinan filem, tetapi terdapat juga teknik lain yang lebih kompleks. Sebagai contoh, Rembrandt lighting yang biasa digunakan dalam potret studio dan Chiaroscuro lighting sesuai untuk situasi menakutkan atau dalam bahaya.
- Saiz rakaman/gambar
Saiz gambar di sini bermaksud berapa besar subjek muncul dalam gambar. Sama ada close-up pada muka subjek untuk menunjukkan ekspresi, atau mungkin long shot untuk menunjukkan persekitaran tempat di mana subjek berada.
- Fokus
Fokus kamera adalah elemen utama dalam menghasilkan sebuah rakaman. Fokus menentukan sama ada subjek nampak jelas atau kabur. DoP juga boleh bermain dengan fokus untuk menyerlahkan lagi cerita yang berlaku dalam babak tersebut. Contohnya, subjek yang kelihatan kabur ibarat sedang menyembunyikan sesuatu daripada audiens.
Gambar oleh Danny Lines
- Komposisi
Komposisi bermaksud susunan elemen dan subjek dalam babak bagi menyampaikan mesej tertentu. Anda perlu tahu di manakah posisi yang sesuai untuk meletakkan subjek anda dalam babak tersebut. Perkara ini penting bagi mendorong mata audiens fokus pada posisi yang sepatutnya.
Gambar oleh Marc Kleen
- Penempatan/sudut kamera
Penempatan kamera atau sudut yang tepat mampu mempengaruhi reaksi audiens terhadap babak tersebut. Ia berpotensi memberi impak kepada emosi dan juga menjelaskan perwatakan karakter dalam filem. Contohnya, jika anda ingin menunjukkan karakter tersebut seorang yang berlagak dan ditakuti, anda mungkin boleh merakam dari sudut rendah (low angle) supaya karakter anda dilihat sedemikian.
- Pergerakan kamera
Akhir sekali, pergerakan kamera mampu meningkatkan tahap ketegangan dalam babak tersebut. Ada masa anda mahukan kamera berada dalam keadaan statik untuk memberi rasa neutral dan tenang. Selain itu, pergerakan ke hadapan dan ke belakang juga mampu memberikan perasaan yang berbeza kepada audiens. Tetapi anda perlu tahu, apakah tujuan anda memilih pergerakan tersebut.
Sebagai kesimpulan, sinematografi itu sama sahaja seperti fotografi. Cuma sinematografi sedikit berbeza kerana ia melibatkan gambar yang bergerak dan diguna pakai dalam pembikinan filem. Jadi, amat berguna jika anda dapat mengaplikasikan elemen-elemen ini dalam projek anda akan datang.
JIka ingin anda berminat dan ingin mempelajari teknik pembikinan video yang mudah, boleh sahaja sertai kelas SMARTPHONE VIDEO kami, sangat sesuai bagi NEWBIES. Klik sahaja ADD SELECTED TO CART di bawah untuk mendaftar.