4 Tips Untuk Ibu Bapa Bantu Anak Atasi Ketagihan Gajet
Ibu bapa mana tidak risau apabila hampir 24 jam anak menghadap gajet di musim pandemik ini. Dengan PDPR yang masih berlangsung, kadar penggunaan gajet anak meningkat dari masa ke masa. Jika tidak dikawal, kita bimbang anak boleh ketagihan gajet. Lihat 3 tanda anak mungkin ketagihan gajet di artikel ini: 3 Tanda Anak Ketagihan Gajet Yang Ibu Bapa Perlu Sedar
Usah risau, setiap ‘penyakit’, insyaAllah ada ubatnya. Ketagihan gajet boleh diatasi dengan strategi yang betul. Jom belajar 4 tips untuk bantu anak atasi ketagihan gajet yang telah dikongsikan oleh Dr Norliza binti Chemi, Pakar Perunding Psikiatri (Ketagihan), Hospital Kajang dalam FB Live Mentari Batu Pahat. *Contoh-contoh telah ditambah oleh penulis untuk memudahkan pemahaman pembaca.
Pautan rakaman penuh di FB Live Mentari Batu Pahat: Ketagihan Gajet Ketika Musim Pandemik Covid-19
1. Tetapkan kawalan penggunaan gajet
Perkara paling utama buat ibu bapa adalah untuk meletakkan kawalan terhadap penggunaan gajet anak. Ada pelbagai cara yang boleh dipraktikkan termasuklah dengan menetapkan had masa penggunaan gajet. Sebagai contoh, “Pukul 10 malam, semua gajet kena hantar kat bilik umi.” Jadi, kita dapat kawal penggunaan gajet anak pada waktu malam dan membantu anak dapatkan tidur yang lebih berkualiti pada waktu malam.
Cara kedua adalah dengan memastikan televisyen dan komputer tidak diletakkan dalam bilik individu anak-anak. Sebaliknya, letakkan gajet tersebut di tempat yang boleh dikawal dan dipantau oleh ibu bapa. Jangan lupa juga untuk ‘memasang’ parental control pada gajet yang digunakan anak.
2. Jelaskan tentang kepentingan gajet serta “do’s and don'ts”
Gajet memang penting dalam kehidupan hari ini untuk pendidikan anak-anak. Jadi, kita jelaskan kepentingan penggunaan gajet untuk belajar dan menyelesaikan kerja rumah supaya anak lebih menghargai kepentingan gajet. Namun, pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu mendidik anak untuk berhati-hati ketika melayari laman web serta media sosial.
Contohnya,
“Kalau ada benda pelik tiba-tiba muncul kat skrin, cepat-cepat beritahu ibu.”
“Kalau ada orang tak dikenali minta adik hantar gambar adik kat dia, jangan sesekali hantar dan beritahu ayah terus tau.”
3. Galakkan anak bermain di luar
Walaupun pergerakan luar rumah agak terhad hari ini, namun jika ada ruang, galakkan anak untuk bermain dalam kawasan rumah. Antara aktiviti yang boleh dicuba termasuklah main skipping, kejar-kejar, hide-and-seek atau permainan klasik kanak-kanak abad ke-20, Pepsi Cola. Bermain amat penting untuk perkembangan fizikal, mental dan sosial anak-anak. Jadi, kita cuba berikan peluang itu semampu mungkin walaupun dalam keterbatasan.
4. Rapatkan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak
Dr Norliza turut menegaskan bahawa hubungan ibu bapa dengan anak-anak perlulah baik dan mesra. Apabila ibu bapa ada hubungan baik dengan anak-anak, barulah ibu bapa dapat berkomunikasi dengan anak tentang penggunaan gajet dengan lebih berkesan.
Selain itu, bila anak percayakan ibu bapa, maka lebih mudah untuk anak menceritakan masalah yang dihadapinya kepada ibu bapa. Contohnya, jika anak ada masalah cyberbullying, anak lebih mudah untuk meminta bantuan ibu bapa untuk menyelesaikan masalah itu.
Semoga 4 tips ini bermanfaat untuk bantu ibu bapa mengatasi masalah ketagihan gajet anak.
Sebagai alternatif kepada penggunaan gajet, apa kata kita beri ruang untuk anak berkreativiti pula melalui aktiviti seni? Pasti anak-anak pun gembira dapat melukis dan mewarna mengikut kreativiti mereka. Dapat juga kawan-kawan baru nanti.
Hanya KLIK GAMBAR DI BAWAH untuk sertai kelas seni kami dan dapatkan promosi HARGA COMBO dengan pembelian PAKEJ ARTMAN dan PAKEJ OIL PASTEL.