"Saya Minta Maaf Pada Semua Ye..." Sue - Sebuah Lukisan Tentang Arwah Isteri

"SAYA MINTA MAAF PADA SEMUA YE..." SUE  
.
Kisah yang dikongsikan ini mungkin bakal membuka mata dan hati kita semua untuk MERAKAM KENANGAN insan-insan yang paling kita sayangi. Baca perkongsian seterusnya. 
.
Dalam pertengahan bulan March 2019, doktor berikan Sue cuti berehat di rumah selama empat hari... Tapi keadaan Sue sangat lemah.
Dalam perjalanan balik dari hospital untuk ke rumah, aku singgah di rumah ibu aku yang terletak hanya 2 km dari Hospital Ampang.
.
"Mak... Awie singgah kejap je ni, doktor bagi Sue cuti empat hari rehat di rumah... Sue ada dalam kereta tu, dia tak larat naik kesini..." Sambil menunjukkan kereta di luar tingkap, rumah ibu aku pula di tingkat satu Pangsapuri Intan Permai, Cheras Baru.


"Takpa la... Kalau macam tu biar mak turun la jumpa Sue sekejap..." Kata ibu aku... "Ngah pun nak ikut jumpa Sue..." Kakak kedua aku juga turut serta... Bila lalu di rumah jiran, ibu aku mengajak jirannya berjumpa Sue yang sedang berada dalam kereta, yang juga amat mengenali Sue.
.
Sebaik saja mereka melihat keadaan Sue di dalam kereta, mereka semua menangis melihatkan Sue tidak bermaya... kurus dan cengkung... amat lemah sekali, hanya terbaring dalam kereta. 
.
Sue menggenggam erat tangan ibu, kakak dan jiran ibu aku sambil berkata "Saya minta maaf ye mak... Maaf ye Ngah... Minta maaf ye Kak Yah..." Dengan suaranya yang sangat lemah... tersekat-sekat...

"Yaa Allah... Tak sangka keadaan Sue macam ni sekali..." Kata mereka sambil menangis... Kebetulan beberapa hari lagi, ibu dan kakak aku serta keluarga kakak sulung aku akan ke Langkawi untuk bercuti. "Mak nak pi Langkawi pun susah hati..." Kata ibu aku sambil menangis... Aku katakan pergi saja bersama mereka, sementara peluang masih ada... Aku boleh jaga Sue.
Walaupun doktor berikan cuti empat hari, tetapi... Sue hanya bercuti dua hari saja, sebelum keadaannya bertambah teruk kerana Leukemia... Lalu masuk ke Hospital Ampang semula.
.
Itulah kali terakhir Sue balik ke rumah sendiri... kemudiannya bercuti lagi, tapi memilih untuk bercuti di Gombak. Sampailah dua bulan kemudiannya, Sue menghembuskan nafas terakhirnya pada 6 Ramadan, 11 Mei 2019...
Mungkin arwah Sue tahu, yang dia akan pergi... Dia meminta maaf dan memaafkan sesiapa saja...
.
"Ya Allah... Kau tempatkanlah isteriku dalam Syurgamu... Kau luaskanlah kuburnya dengan amalan dan sedekahnya... Kau terangilah kuburnya dengan amalan Al-Qurannya... Kau gantikanlah kain kafannya menjadi pakaian Syurganya... Dan, Kau jadikanlah kuburnya adalah taman-taman Syurga untuknya..."
.
Tajuk : Saya Minta Maaf Pada Semua
Saiz : A4
Medium: Pensel Picit & Teknikal Pen Diatas Buku Sketch
Tahun Dilukis : 2021
#Sebuahlukisantentangarwahisteri

Sebelum itu...
.
GAMBAR UNTUK KENANGAN
"Abang, tengok ni..." sambil tersenyum Sue menunjukkan gambar yang diambil melalui telefon bimbitnya. "Huh... gambar abang tidur pun Sue ambil..." Kata aku. "Saja... nak buat kenangan, biarlah dia orang tahu penat abang..." Kata isteri aku.
Setiap malam, dalam pukul 10:00 malam... selepas uruskan makan minum anak-anak di rumah, aku akan kembali semula ke hospital untuk menjaga Sue. Dalam pukul 4:30 pagi aku harus balik ke rumah, kejutkan anak-anak untuk solat subuh dan bersiap kesekolah.
Setiap awal pagi aku akan balik, kekadangnya saat itulah Sue seakan tidak mahu aku balik untuk uruskan anak-anak kesekolah... dia akan bersembang dengan aku, seolah mahu dekat dengan aku. Pernah dia ajak bersembang, aku jadi serba salah... sudahnya aku tak pulang ke rumah untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Petang baru aku jenguk anak-anak.
"Kita orang dah siap pakai baju sekolah yah... tapi ayah tak balik... kita orang tidur sajalah dengan pakaian sekolah... Kita orang dah agak, tentu ibu tak sihat..." Kata anak aku bila aku bertanyakan hal subuh tadi semasa aku tak pulang. Mereka pula langsung tak punya telefon untuk dihubungi.
22 March 2019, jam 4:23 pagi (kurang 2 bulan sebelum Sue meninggal dunia pada 6 Ramadan, 11 Mei 2019) Sue ambil gambar aku yang sedang nyenyak tidur keletihan di atas kerusi malas sebelah katil hospitalnya. Aku akan tidur mengadap wajahnya.
.
Yang pasti, gambar aku sedang tidur keletihan ini menjadi kenangan untuk aku yang ditinggalkan oleh arwah isteri... Aku sangat Redha untuk Syurganya juga... .

Tajuk : Gambar Untuk Kenangan Saiz : A4 Medium: Pensel Picit & Teknikal Pen Diatas Buku Sketch Tahun Dilukis : 2020

.
Sebelum itu...
CARI PAPA DI SYURGA
"Kalau Papa Tak Balik, Cari Papa Di Syurga..."
Sewaktu hendak ke hospital untuk menemani arwah isteriku, anak bongsu aku, Dina... meluru dan mendakap aku. "Papa... jangan tinggalkan Dina... Dina nak papa... Dina nak tidur dengan papa..." Sambil menangis teresak-esak Dina berkata begitu.
"Eh... tak boleh Dina... kesian mama, Dina dirumah ada abang... ada kakak, mama di hospital hanya ada papa saja tau... kesian tak mama" kataku... "Takde siapa jaga mama... mama harapkan papa saja tau... kita doakan mama cepat sembuh ye... nanti kita boleh jumpa mama" tambahku lagi.
"Semalam Dina mimpi papa tak balik..." sambil memeluk aku dalam keadaan menangis dia berkata begitu.
"KALAU PAPA TAK BALIK, CARI PAPA DI SYURGA YA..." aku berkata begitu, Dina hanya menganggukkan kepala... Sebak rasanya tinggalkan anak-anak, tiga beradik dirumah.
Sampai di hospital, aku beritahu hal Dina kepada arwah isteriku... Dalam nada sayu isteriku berkata "Saya pun terkilan bang... sebab mengabaikan anak-anak... kesian dia orang"
"Takpe laa... Sue kan tak sihat... berdoalah semoga kita semua berjumpa semula nanti, tidur lah Sue... rehatlah... abang boleh jaga dia orang" kataku.
Ternyata, arwah isteriku tidak dapat bermesra dengan anak-anak sehinggalah menghembuskan nafas terakhirnya... Ya Allah... jika didunia ini isteriku tidak dapat bermesra bersama anak-anak, Kau temuikanlah kami di Syurgamu... Aamiinn...
Tajuk : Cari Papa Di Syurga
Saiz : A4
Medium: Pensel Picit Diatas Buku Sketch
Tahun Dilukis : 2019
.
Redha Dan Pasrah
Ketika aku menemani arwah isteriku ke bilik air hospital... Aku mandikan dia, kerana waktu itu dia tidak berdaya untuk ke bilik air seorang diri. Aku bimbang dia sendirian ke bilik air, takut-takut nanti dia jatuh dan boleh menyebabkan koma.
"Apapun keadaan abang kena terima hakikat, redha dan pasrah... tak perlu nak keluh kesah. Sebab yang menanggung sakit ni adalah saya... apapun kita kena redha... dan kena sedia terima hakikat jika umur saya tak panjang..." Kata arwah isteriku ketika dalam bilik air Hospital Ampang.
Arwah isteri aku pernah berbalas wassap dengan Myra anak kakak aku...
ISTERIKU: Maklang kena kuatkan semangat Paklang... dia terlalu risau Maklang sakit.
MYRA: Memang la... siapa tak sayang bini...
ISTERIKU: Tambahan tadi dia dapat tahu dari doktor yang penyakit Maklang dah Masuk stage leukemia yang mudah merebak.
MYRA: Ya Allah... pastu doktor cakap apa lagi adoi sedih pulak Myra.
ISTERIKU: Paklang macam sedih tadi...
MYRA: Kesian Paklang, dia mesti sedih sangat.
ISTERIKU: Paklang kena belajar terima hakikat dan jangan berkeluh kesah. Ini takhdir Maklang... kita usaha mana yang termampu... selebihnya kita kena redha.
Memang nampak Paklang sedih tadi... tapi Maklang tak tunjukkan kesedihan Maklang depan dia... Maklang bagi kekuatan je kat dia, sebab Maklang tahu, Paklang tak berapa kuat.
Ya Allah... rupanya ketika itu dia tahu aku tak berapa kuat...
Malam 6 Ramadan, 11 Mei 2019 ketika dia menghembuskan nafas terakhirnya, aku sangat Redha... Kerana Redha suami yang membolehkan isteri masuk mana-mana pintu Syurga yang dia kehendaki... Semoga Syurga tempatmu Sue, kerana akhlak Sue yang sangat sempurna.
.
Tajuk : Redha Dan Pasrah
Saiz : A4
Medium: Teknikal Pen Diatas Buku Sketch
Tahun Dilukis : 2020

Luahan rasa dari Min:

Terasa sayu bila membaca perkongsian En Zawawi Zaid, suami kepada arwah Sue ini. Tabahnya kedua-dua pasang suami isteri ini saling menyokong dan menggalang satu sama lain walaupun saat diri sendiri kurang kuat.
.
Tapi, itulah KENANGAN yang bila salah seorang sudah tiada, bakal dibawa ke masa depan buat perkongsian semula dengan anak-anak dan ahli keluarga lainnya.
.
Kami pasti ahli keluarga beliau mempunyai koleksi gambar-gambar / video yang disimpan rapi untuk dilihat saat kerinduan. Bertambah lagi dengan bakat suami beliau yang pandai melukis. Semua ini pasti boleh sedikit sebanyak jadi pengubat kerinduan semua. Mohon sama-sama sedeqahkan doa kepada arwah agar ruhnya ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Amiin.
.
Untuk kita, ambillah peluang untuk RAKAM KENANGAN SEBANYAK-BANYAKNYA dalam bentuk foto / video / lukisan. Itulah sahaja PENGUBAT KERINDUAN kita juga nanti.
.
Perkongsian dengan izin penulis asal, di SINI

Related Posts

4 Tips Untuk Ibu Bapa Bantu Anak Atasi Ketagihan Gajet 
4 Tips Untuk Ibu Bapa Bantu Anak Atasi Ketagihan Gajet 
Ibu bapa mana tidak risau apabila hampir 24 jam anak menghadap gajet di musim pandemik ini. Dengan PDPR yang masih be...
Read More
Anak Pandai Melukis Tanda Genius, Kalau Tak Pandai Lukis Pula?
Anak Pandai Melukis Tanda Genius, Kalau Tak Pandai Lukis Pula?
Kebanyakan ibubapa hari ini ramai yang berbangga dengan anak yang duduk diam dan belajar sahaja setiap masa untuk sko...
Read More
3 Tanda Anak Ketagihan Gajet Yang Ibu Bapa Perlu Sedar
3 Tanda Anak Ketagihan Gajet Yang Ibu Bapa Perlu Sedar
Sememangnya di musim pandemik ini, masa kita bersama gajet meningkat secara mendadak untuk memenuhi keperluan hidup. ...
Read More

Filter
"Saya Minta Maaf Pada Semua Ye..." Sue - Sebuah Lukisan Tentang Arwah Isteri
"Saya Minta Maaf Pada Semua Ye..." Sue - Sebuah Lukisan Tentang Arwah Isteri