3 Youtuber Kongsi Perjalanan Sebagai Content Creator Hingga Peroleh 1 Juta Subscriber

TAHUN lalu adalah paling mencabar buat semua rakyat Malaysia apabila pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia sehinggakan ramai terkesan sama ada secara peribadi atau pun profesional.

Suasana yang tidak dijangka itu telah banyak mengubah cara hidup kita termasuklah ramai beralih ke YouTube bagi mencari hiburan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Tidak kurang juga yang menyertai YouTube sebagai pencipta kandungan atau content creator untuk berhubung sesama ahli komuniti setempat sama ada dalam bentuk video berkaitan makanan, senaman, hiburan atau mempelajari kemahiran baharu bagi menjana pendapatan.

Menerusi sesi secara dalam talian Generasi YouTube (Gen YT) bertemakan Sembang Sejuta, tiga pencipta kandungan YouTube, Afiq Aiman dari AAC Dream, Zarol Zarif, Ecah Daud dan Amri Aziz (Cikidot Channel) serta Ekram Mahat (Kupi Kupi Go) berkongsi perjalanan dan pencapaian mereka dalam meraih sejuta pelanggan di saluran popular itu.

Animasi pertaruhan AAC Dream

 Afiq Aiman, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda di UiTM dalam jurusan teknologi animasi kreatif, dikenali dengan kandungan animasi 3D, imej janaan komputer (CGI) dan kesan visual yang diilhamkannya dari permainan serta filem popular yang viral.

Dia mengasah bakat menerusi pembelajaran kendiri, dan memetik juru-juru animator global seperti Corridor, Shutter Authority, Rate VFX serta bakat-bakat tempatan seperti Sofyank dan VS GAG sebagai inspirasi yang telah membantunya di sepanjang perjalanannya meraih sejuta pelanggan.

Saluran Afiq, AAC Dream, terkenal dengan gabungan penceritaan kreatif, kecanggihan teknikal, dan trend semasa yang sempurna.

Sama ada ia watak tempatan atau adiwira yang popular, Afiq memilih kandungan tersohor kini dan memberi nafas baru dengan membayangkan mereka dalam senario yang berbeza - bagaimana rupanya jika Titan Colossal diletakkan dalam treler ‘Godzilla vs Kong’? Atau bagaimana pula permainan Temple Run yang mengasyikkan itu akan kelihatan dalam dunia nyata?

"Terdapat begitu banyak kandungan yang sama di luar sana, jadi anda benar-benar perlu memikirkan cara untuk mengatasinya dan pergi lebih jauh agar kandungan anda tidak tenggelam dalam 'kesamaan'.

"Permainan dalam talian berbilang pemain 'Among Us' misalnya, menjadi sebuah ‘hit’ pada tahun lalu dan ramai yang membuat kandungan di sekitarnya dan apa yang saya buat adalah animasi 3D berkenaan permainan popular ini dan kerana tidak ada yang benar-benar melakukannya, ia tidak mengambil masa yang lama sebelum kandungan saya dikenali ramai," kongsi Afiq.

Dengan 1.6 juta pelanggan buat masa ini, kesan visual dan CGI luar biasa ciptaan Afiq dinikmati sejumlah besar pengikut antarabangsa dari negara-negara seperti India, Indonesia, Vietnam, dan Mexico.

YouTube satukan tiga sepupu

 

Turut berkongsi mengenai cabaran batasan kreativiti adalah tiga sepupu iaitu Zarol Zarif, Ecah Daud dan Amri Aziz dari Cikidot Channel.

Walaupun masing-masing mempunyai perbezaan dan selera tersendiri namun gabungan ketiga-tiga mereka telah membuahkan kejayaan.

"Anda harus meletakkan sesuatu di luar sana yang tidak akan difikirkan oleh orang lain - anda harus menjadi orang yang berfikir lebih awal dan memperkenalkan idea-idea baru ini.

"Kami cuba mengikut trend, contohnya ketika orang-orang menyukai mi Samyang, kami juga mengikuti trend itu tetapi kami melakukannya dengan menggandakan tahap kepedasan sebanyak tiga kali sambil memakannya di hadapan penonton kami.

"Saya rasa keberanian untuk bereksperimen adalah apa yang membuat penonton kami ternanti-nanti apa yang mungkin kita lakukan seterusnya, ” kata trio itu.

Secara bersendirian, masing-masing mempunyai pengikut mereka sendiri. Zarol misalnya merupakan bekas peserta Akademi Fantasia manakala Amri pula telah menimba pengalaman sebagai pengacara dan pelakon TV.

Tetapi ketiga-tiga mereka menyatakan bahawa walaupun artis dan personaliti terkenal mungkin memiliki kelebihan jika memilih untuk berkarya di YouTube, ia tidak menjamin kejayaan buat mereka.

Mereka harus berfikir seperti seorang pencipta kandungan, dan mengingati bahawa penonton YouTube menghargai konsistensi dan kandungan yang membolehkan mereka berhubung rapat bersama para pencipta.

Penonton Cikidot Channel terdiri daripada golongan muda, jadi mereka selalu berusaha untuk mengenal pasti cabaran-cabaran baru untuk menghiburkan penonton mereka.

Ini berserta dengan kandungan mesra keluarga mereka telah mengumpulkan mereka lebih daripada 1.01 juta pelanggan setakat ini.

Kupi Kupi Go dekati komuniti

 Pemilik saluran Kupi Kupi Go berasal dari Sabah, Ekram Mahat pula memberitahu dia menyusun strateginya dengan memberi tumpuan kepada komunitinya sama ada dengan memerhati reaksi penonton, memberi hadiah dan sebagainya.

Malah Ekram turut mewujudkan identiti unik bagi pengikutnya (dikenali sebagai GOER) yang cukup dekat dengan komunitinya.

"Bagi saya, kuncinya adalah untuk memberi tumpuan kepada komuniti anda - kerana komuniti anda akan ada untuk anda dan menyokong anda walaupun anda berpindah ke pelbagai platform lain.

"Ketika saya menghadapi masalah untuk diterima di platform arus perdana pada masa lalu, komuniti saya mempertahankan saya daripada komen negatif. Ini bukan sesuatu yang harus anda abaikan dan merupakan bahagian kritikal YouTube," kongsinya.

Kupi Kupi GO, yang kini mempunyai 1.08 juta pelanggan, telah melalui pelbagai proses penambahbaikan sebelum ia berjaya seperti sekarang.

Saluran hiburan berinformasi Ekram meneroka perkara pelik dan luar biasa. Apa yang mendorongnya untuk mendirikan saluran ini beberapa tahun yang lalu adalah minat semula jadinya dalam bidang keusahawanan digital.

Setelah memerhatikan bagaimana pencipta kandungan di Amerika Syarikat mampu menjana pendapatan dari platform ini, dia melihat peluang untuk mencubanya sendiri.

Dia mengambil masa dua tahun sebelum dia menyaksikan sendiri aliran pendapatan yang masuk, tetapi dia gembira melihat usahanya membuahkan hasil.

Bagi Ekram, meskipun pendekatannya untuk terus memberi tumpuan kepada komunitinya namun ketika ini penontonnya lebih pelbagai dengan 70 peratus dari Semenanjung Malaysia.

Sumber: mStar


Related Posts

10 Idea Kenalkan Perniagaan Secara Online Menggunakan Google Business
10 Idea Kenalkan Perniagaan Secara Online Menggunakan Google Business
BACA SAMPAI HABIS KALAU NAK GRAB HARGA RM 150 UNTUK 6 KELAS BISNES YANG KAMI TAWARKAN. JIMAT RM 420 YER SEMPENA PKP N...
Read More
Pelajaran Dari Tokey Karpet Nilai 3
Pelajaran Dari Tokey Karpet Nilai 3
2-3 hari ni meriah cerita tentang nilai 3Lama dah tak dengar Nilai 3 masuk berita. Nilai 3 pun dah tak semeriah dahul...
Read More
4 Step Mudah Untuk Tuan Rumah Buat QR Code MySejahtera Raya Ini
4 Step Mudah Untuk Tuan Rumah Buat QR Code MySejahtera Raya Ini
Tenang semua, tenang. Walaupun arahan terkini ada sesetengah kawasan yang PKP dan PKPB, aktiviti ziarah masih dibenar...
Read More