"AKU MEMANG ISI MASA LAPANGPUN, BUKAN MENIAGA SANGAT"

Dari kecik dulu aku jual cili api petik di ladang sawit penuhi masa lapang, dapat juga basikal BMX. Dah besar aku dan kawan-kawan penuhi masa lapang dengan berniaga Alhamdulillah dapat juga tampung belanja 200 asnaf dan anak yatim dah 15 tahun, ada sekolah sendiri, ada bangunan sendiri tak hutang-hutang juga ada jentera-jentera berat, bas-bas, kren-kren, excavator-excavator, bagi biasiswa dan hantar anak asnaf pergi haji dan umrah, hantar lebih setengah juta PPE satu negara masa Covid Outbreak haritu, ada kereta-kereta, dusun-dusun, boleh usahakan 15 perniagaan semua dalam masa lapang sehingga asnaf-asnaf dan anak yatim ramai jadi usahawan. Hasilnya, dapatlah beli tanah sana sikit sini sikit pun tanpa sempat buat hutang. Semua tu sekadar memenuhi masa lapang sahaja.
.
Masa aku memang selapang 24 jam sehari. Sama macam yang lain. Itu yang aku perlu penuhkan dengan buat bisnes. Jadi semangat pulak aku bila Pakar Pemasaran No.1 Asia buat status tanya netizen "...kau meniaga ke isi masa lapang". Terus tersentak hulu ginjal aku dan terus ke jamban untuk membuang. Setelah lega, aku fikir balik, betul juga kan "Apa yang aku dah buat selama ni?"
.
Bila fikir balik, memang aku ada banyak masa lapang lagi belum pakai. Masih sempat main-main dengan anak, masih sempat ajar budak-budak bisnes, sempat travel satu dunia, sempat panggang lamb New Zealand, sempat bina bangunan, sempat berkebun, sempat tanam durian dan semua tu tak produktif betul. Kenapalah aku tak terfikir macammana nak dapat 1 juta pertama setahun kan?
.
Aku pun dah lupa sangat masa bila aku hit 1 juta pertama. Pada aku, buat duit bukan keraian tetapi kat mana aku spend duit tu yang patut aku raikan. Aku sendiri paling mahal kereta aku pakai ialah BMW beli siap koyak plastik baru. Lepas 2 bulan aku rasa bodoh juga kejarkan kereta. Lepas 2 bulan aku dapat kereta idaman aku, terus aku dapat idaman baru sebuah Bentley pulak. Masa tu, dari aku jadi hamba nak reward diri sendiri dengan kereta yang aku boleh naik 2 orang (sportcar) baik aku stop kejar kereta, masa ni aku penuhi masa lapang dengan membangunkan anak-anak yatim dan asnaf yang sebahagiannya bijak mengalahkan angkasawan cuma kebijaksanaan diguna untuk curi motor, curi basikal, pecah rumah orang.
.
Itulah masa lapang aku. Kau ingat penyamun tu tak bijak ke? Untuk menyamun engkau perlukan kebijaksanaan dan keberanian. Sama macam apa yang diperlukan oleh Jho Lo juga -- kebijaksanaan dan keberanian. Cuma kalau kau install AKHLAK pada mereka sahaja, maka keberanian dan kebijaksanaan itu akan dipacu ke tempat setinggi tempat yang orang-orang biasa pun tak sampai.
.
Aku baru tahu aku belum berniaga lagi cuma baru mengisi masa lapang. Sekalipun kaunter juta pertama tu aku pun dah lupa bila, tapi aku malu nak mengaku kaya atau ada harta. Sebab semua tu aku dapat pun Allah yang bagi. Kalau Allah nak ambil balik pun, itu hak Allah. Cerita zakat, tax semua tu kewajipan lah, tak payah cerita pun takpe. Buat malu nak cerita pasal tu, macamlah aku sahaja yang bayar zakat dan cukai. Kan?
.
Terima kasih Menthor yang aku tak mampu nak bayar yurannya. Bukan tak mampu, tapi aku rasa masa lapang aku dah tak lapang sangat. Masa PKP tempohari, Allah bagi aku cuti "memenuhi masa lapang" (Bukan berniaga) selama 3 bulan. Automatis aku dapat 3 bulan masa lapang yang lapang sungguh.
.
Aku belajar satu perkara semasa aku dan kawan-kawan di Projek Pelangi anjuran RPWP sampaikan bantuan kemanusiaan. Yang minta bantuan bukannya orang yang kau tengok kutip sampah, kutip tin tu. Tapi piun-piun, dropship-dropship, agen-agen produk yang stock tak lepas nak jual kerana PKP, termasuk owner-owner kedai yang saving habis bukan kerana boros tetapi mereka mengutamakan kebajikan pekerja-pekerjanya dahulu.
.
Mereka juga macam aku, tak mampu nak dimenthorkan oleh sifu no.1 Asia. Bukan salah Sifu cuma salah mereka juga yang tak mampu kerana sama-sama macam aku tak sedar diri, dari dulu ingatkan dah berniaga tapi rupanya baru isi masa lapang.
.
Sebab itu, semasa PKP tempohari, aku dan kawan-kawan aku yang rajin "Isi masa lapang", selepas proses kami tutup sementara cawangan di Singapura, kami decide untuk ambil orang-orang yang tak mampu nak bayar kelas Menthor No.1 Asia untuk kami sendiri sampaikan pengalaman dan perkongsian kami dalam Telegram RareFounders.com
.
Tapi minta maaf gais, kami tak ada stage ada keluar bunga api ataupun musik kuat tergegar gegendang terus sampai ke serebrum otak "Bara bara bara, berey berey berey". Yang kami ada cumalah pengalaman "mengisi masa lapang" sebenar kami dari modal cuma RM90 dan kemudian sampai sekarang adalah dalam 15 company diusahakan sama-sama. Kami ajar PERCUMA kerana ramai sangat yang tersungkur masa Covid-19 dan pesanan kami cuma "Bayar zakat walaupun hasil niaga sikit, kerana sikit yang mengingat Allah itu lebih baik dari kau ada banyak baru nak ingat zakat".
.
Hari-hari kami sharing di Telegram Rarefounders.com dan sekali sekala ada kelas hujung minggu 2 hari suntuk pun kami cuma caj RM130-160 sahaja DAN ITUPUN BAGI YANG TAK MAMPU kami cakap, masuk dulu, belajar dulu dan praktikkan -- dapat hasil nanti baru bayar. Ini cara kami nak bantu usahawan kerana kami tak desperate sangat nak buat duitpun dari training orang. Kerana kami masih lagi aktif dengan bisnes yang ada 15 sekarang ini.
.
Rakyat Malaysia sekalian, jangan marahkan Sifu no.1 Asia itu kerana itu satu-satunya bisnes aktif yang dia ada, sebab itu mungkin yurannya mahal. Dan jangan sentap dengan kata-kata dia, korang ni cepat sangat nak sentap. Itu hanyalah cabaran untuk kita rasa tercabar. Kalau rasa tercabar dan tak mampu join, follow Telegram yang aku bagi tu, dan scroll dari mula -- rasanya makan minggu juga nak khatam baca sampai ke post terkini. FREE jer.
.
Yang marah sangat Menthor ada 8 Phd tu pun satu hal juga. Kalau dia mampu buat 8 Phd, biarlah. Korang dan aku ni yang Ph.D 3 tahun tak lepas literature review lagi ni, duduk tepi jer lah tengok orang bijak. Professor aku kat universiti cakap macam bagus tapi PhD cuma sekeping. Kenalah dengan harganya untuk berguru dengan Sifu No.1 Asia lagi bijaksanasini dengan 8 Phd di pinggangnya.
.
Jujurnya, aku memang terasa dengan statement itu walaupun atas dasar marketing. Kenapa? Kerana aku usahawan yang merangkak dari bawah. Aku rasa dan pernah rasa kesusahan golongan ini yang bisnes hari ini untuk bayar hutang tahun lepas punya tunggakan. Apa lagi nak cerita bisnes hari ni untuk saving 20 tahun ke depan. Lagi terasa bila mereka bayar murah-murah masuk Seminar Menjual Harapan tapi akhirnya dalam keadaan mata mereka bersinar melihat "Andalah pembimbing sejati" tetapi akhirnya kena upsell pakej RM4000. Korek-korek gadai-gadai lepas bayar RM4000 dan selepas 3 hari rupanya kena upsell yang 100k.
.
Aku bukan hebat manapun, adalah pengalaman sikit. Orang lain belanja iklan FB sampai 100k utk jualan 1 juta, aku ni orang darat jenis semua nak kena kira dan scrutinize cuma belanja RM1k utk buat jualan yang sama 1 juta. Pakai akal, pakai otak yang Allah bagi.
.
Sifu No.1 Asia -- Rakyat Malaysia sedang sengsara sekarang. KDNK menguncup 17% inflasi jangan cerita lagi. Sebelum ni bawa RM120 dapat 1g emas sekarang RM300 baru dapat 1g emas. Semua dalam 5 tahun ni sahaja. Kalau susah nak bayangkan emas, bayangkan nilai duit RM100 bawa masuk Mydin. Dulu boleh dapat suku trolley sekarang 2-3 barang sahaja pun dah RM100.
.
Kalau nak bantu, kita bantu sama-sama. Bukan depan tangan menghulur bantu, di belakang diselit kerambit nak sembelih.
.
Apapun Malaysia, jangan lupakan juga jasa seseorang itu disebabkan tergelincir kata sekali sekala. Banyak juga jasa Sifu ni. Kalau tidak, masakan dapat gelaran Pakar Marketing No.1 Asia.

Memang semua nak kaya, tapi jangan kaya itu jadi ukuran besar. Takrifan kekayaan setiap orang bukannya 1 juta pertama tetapi apakah life goal mereka. Kalau tanya aku, siapa anak didik aku yang aku paling suka kesnya? Bukannya taukey kilang pengeluar ayam proses, bukan juga taukey kilang coklat yang mengeksport hasilnya ke Timur Tengah tetapi seorang anak yatim yang berniaga di pasar malam di Melaka yang jual dadih segar yang menjaga emaknya yang sudah lanjut usia dan cuma nak tingkatkan sekali ganda jualannya kerana kalau banyak sangat jualan nanti dia hilang tumpuan menjaga ibunya.
.
Macam mana nak aku kira dia ni masuk Titanium Circle aku kalau aku caj ratus ribu? Kerana kekayaan yang dicari hanyalah nilai masa berbaki bersama ibunya, bukan juta yang pertama.
.
Tapi itu akulah.
Kita pun tak sama.
Kau memang peniaga hebat
Aku sekadar penuhi masa lapang
.
SAIFUL NANG
Founder
RareFounder.Com
Usahawan Masa Lapang


Filter
"AKU MEMANG ISI MASA LAPANGPUN, BUKAN MENIAGA SANGAT" - Saiful Nang Academy
"AKU MEMANG ISI MASA LAPANGPUN, BUKAN MENIAGA SANGAT" - Saiful Nang Academy