TIPS PARENTING 2 : SUMBER GEMBIRA ANAK ADALAH KASIH SAYANG

SUMBER GEMBIRA ANAK ADALAH KASIH SAYANG, BUKAN WANG RINGGIT. TETAPI KERANA WANG RINGGIT, ANAK KITA JADI YATIM SEBELUM MEREKA YATIM.

Lihat foto ini, mereka adalah anak-anak orang Iban di rumah panjang Nanga Kesit Sarawak. Nampak mereka masih gembira walaupun hidup jauh dari kemewahan bandar. Hari ini, ramai ibu bapa meletakkan kasih sayang kepada anak mereka sebagai keutamaan kedua dan bukannya yang pertama.

Islam menggalakkan umatnya mencari rezeki seperti mahu hidup lagi 1000 tahun, tetapi Allah jua mahukan kita membuat persediaan seperti kita akan mati esok. Apakah cukup persediaan kematian kita dengan meninggalkan anak dengan saham amanah dalam ASB sampai RM100k seorang? Adakah cukup wang insuran kematian anda untuk anak anda mengharungi barang 50 atau 80 tahun lagi kehidupan tanpa anda. Dari kajian kami dari kes-kes yang dirujukkan kepada kami bolehlah kami simpulkan bahawa kebanyakan anak yang bermasalah adalah kerana kasih sayang ibu bapa yang kurang. Maka, mereka mencari kasih sayang alternatif di luar. Lumrah manusia mahu disayangi dan kita tidak mampu ubah itu. Itulah fitrahnya.

Tetapi bapa dan ibu moden memandang bahawa mereka perlu berusaha keras agar mereka mampu tinggalkan anak mereka terjamin masa hadapannya jika mereka mati nanti. Sebaliknya, terdapat beberapa kes yang merujuk kepada kami apabila anak-anak ini yang telah meningkat dewasa (terutamanya perempuan) menghabiskan keseluruhan peninggalan arwah ibu atau bapa mereka dalam tempoh kurang 6 bulan. Maafkan kami, ada yang tidak sampai seminggu telah habis seluruh harta yang ibu bapa mereka cari seumur hidup mereka.

Sudahnya, dah lah kasih sayang pun kurang, lalu mereka cari kasih sayang dalam laluan yang dilaknat Allah. Bersekedudukan dengan teman lelaki, menagih dadah dek kerana ibu bapa tak kisah tentang keperluan kasih sayang kepada anak mereka. Sudahnya apabila mereka mati, dalam seminggu semua wang ringgit yang ditinggalkan habis untuk berpoya-poya dengan teman lelaki yang akhirnya meninggalkan anak yatim itu mengandung anak haram dan HIV positif. Nauzubillah.

Di Rumah Pengasih Warga Prihatin, kami melaksanakan kesamarataan antara anak pengasas, anak yatim dan juga asnaf. Kasih sayang didahulukan maka mereka semua gembira walaupun terpaksa berpuasa kadangkalanya. Sesuai juga dengan nama kami, Rumah Pengasih dan sesuai juga dengan Basmallah yang hujungnya Ar-Rahim (Maha Mengasihi).

Share kan jika anda setuju. Itu juga satu dakwah menyeru kebaikan kepada yang lain.

Kudap-kudap
WARGA PRIHATIN



Filter
TIPS PARENTING 2 : SUMBER GEMBIRA ANAK ADALAH KASIH SAYANG - Saiful Nang Academy
TIPS PARENTING 2 : SUMBER GEMBIRA ANAK ADALAH KASIH SAYANG - Saiful Nang Academy